10 Jun 2014 - 15:26
Al-Azhar tetapkan syarat untuk persidangan Ulama Syiah dan Sunni

Dr. Ahmad Tayyib menyatakan kesediaan Universiti al-Azhar untuk mengadakan Persidangan Ulama Syiah dan Sunni dengan syarat.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Timbalan Presiden Iraq, Dr. Khudair al-Khuza'i bersama-sama ulama Sunni Syeikh Khalid Mulla yang merupakan tokoh Pendekatan Mazhab Iraq telah mengunjungi Syeikh al-Azhar pada hari Sabtu lalu. Khudair berkata, "Universiti al-Azhar adalah simbol toleransi dan tonggak kesederhanaan. Selain itu al-Azhar juga berusaha menyatu padukan umat di dalam dunia Islam dan negara-negara Arab".

Sambil menyatakan kegembiraan atas kunjungan tersebut, Dr. Ahmad Tayyib menyatakan kesediaan Universiti al-Azhar untuk mengadakan Persidangan Ulama Syiah dan Sunni dengan syarat para marja' Syiah di Iraq dan Iran harus mengeluarkan fatwa pengharaman perbuatan menghina para sahabat dan isteri Nabi (s.a.w). Selain itu beliau juga meminta kegiatan menyebarkan Syiah di kawasan Ahli Sunnah dihentikan serta merta.

Ahmad Tayyib mengajukan perkara tersebut ketika ulama Syiah terkenal seperti Ayatullah Sistani, Khamenei dan Makarim Syirazi sudah berkali-kali mengeluarkan fatwa rasmi tentang pengharaman menghina simbol suci Ahli Sunnah dan berhati-hati menjaga sensitiviti pengikut mazhab-mazhab Islam yang lain.

Selain itu para ulama Syiah juga sudah memaklumkan tidak ada sebarang usaha penyebaran Syiah di negara-negara lain kecuali penganut mazhab Ahli Sunnah dan agama-agama lain sendiri yang bertindak mengkaji tentang hakikat Ahlul Bait (a.s), sejarah Islam dan kitab-kitab Syiah.


........................